Pengikut

Isnin, 23 Januari 2017

Sejarah Kehadiran Helikopter Di Malaysia - Bhg 3

Sambungan dari SINI...

Untuk  mengukuhkan lagi hujah  C-in-C FELF mengenai keperluan 'tinker-toy' atau 'egg-beaters' ini, Brig T. Young, HQ FELF, Singapore, telah menghantar surat kepada Lt Col J.C. Barneton, The War Office, London, pada tarikh yang sama dengan kawat C-in-C (8 Mac 1949). Beliau menegaskan keperluan helikopter sangat mendesak di Malaya. Menurutnya, membawa keluar casevac dari hutan merupakan masalah besar kepada anggota Pasukan Keselamatan (PK). Pasukan mengambil sehari suntuk hanya untuk bergerak 2 batu. Beliau turut menjelaskan, dalam satu insiden, 2 kompeni diserang hendap oleh musuh yang berakhir dengan 13 anggota tercedera dan 3 orang terkorban. Seramai 104 anggota terpaksa diatur gerak untuk membawa casevac keluar. Ekoran itu, operasi terpaksa dibatalkan!

Surat daripada Brig T. Young, HQ FELF, Singapore, kepada Lt Col J.C. Barnetson, The War Office, London. Sumber: MINDEF: Air Historical Branch (RSF).

Ketika itu, jenis helikopter yang boleh memenuhi keperluan ini ialah Fairey Gyrodyne. Tetapi masalahnya ialah pesawat ini masih belum operasional. Sebaliknya, pesawat yang ada ialah Dragonfly. Ekoran itu, Brig Young seterusnya meminta spesifikasi pesawat yang mungkin dihantar ke Malaya. Beliau memerlukan butir-butir seperti berapa casevac boleh dibawa (dalam keadaan duduk dan baring), kelajuan, jarak penerbangan (range), keluasan tempat mendarat, dll. Perincian ini bagi memudahkan mereka membuat persiapan.

Fairey Gyrodyne
Bersambung...




Isnin, 16 Januari 2017

Sejarah Kehadiran Helikopter Di Malaysia - Bhg 2

Sambungan dari SINI...

“If a man is in need of rescue, an airplane can come in and throw flowers on him, and that's just about all. But a direct lift aircraft could come in and save his life.” ~Igor Sikorsky.

Impian Sikorsky menjadi kenyataan apabila helikopter Sikorsky model VS-316R7 digunakan oleh Tentera Darat AS sebagai R-4, mencatatkan sejarah sebagai satu platform untuk Combat SAR (CSAR) pada 1944.
  
US Army Sikorsky R-4

Peranan helikopter ini bermula di Burma. Ketika menentang kemaraan tentera Jepun dalam usaha mereka menawan India, 1st Air Commando, US Army Air Forces, telah menempatkan 4 buah YR-4B di Lalaghat, Burma. Peranan pesawat adalah untuk operasi SAR dan casevac. 

Pada 21 April 1944, sebuah pesawat Vultee L-1 Vigilant yang dikendalikan oleh T. Sgt Edward Murphy Hladovcak, telah ditembak jatuh oleh Jepun 60 batu di belakang kedudukan musuh. Pesawat ini membawa 3 orang anggota Chindits yang cedera. Namun kesemua mereka terselamat dan berjaya mengelak daripada tentera Jepun yang bergegas ke lokasi mereka. Tugasan pasukan British di bawah Jen Wingate ini,  adalah membuat rondaan menembusi pertahanan tentera Jepun di Burma.

Vultee L-1 Vigilant

Kemalangan ini berjaya dikesan oleh sebuah pesawat Stinson L-5 Sentinel yang memaklumkan keadaan ini kepada 1st Air Commando HQ. Ekoran maklumat ini, bahan makanan dan air telah digugurkan kepada 4 orang survivors tersebut. Sementara itu, sebuah YR-4B diatur gerak untuk misi CSAR/casevac. Ketika itu hanya sebuah pesawat sahaja yang serviceable. Helikopter ini dikendalikan oleh 2Lt Carter Harman. Namun beliau tidak dapat melaksanakan tugasan pada hari tersebut kerana faktor teknikal pesawat itu sendiri. Kelajuan 65 batu sejam dan jarak hanya 130 batu dengan bahan api penuh tangki, menghalang pesawat terbang terus ke lokasi survivors. Carter hanya memulakan misi CSAR ini pada 25 April dari pangkalan hadapan, Aberdeen

Selain batasan teknikal, elemen masa juga memainkan peranan penting. Carter menyedari kekekangan masa menghalangnya untuk membuat 4 sorti untuk membawa keluar survivors dari lokasi mereka ke Aberdeen; 1 sorti  untuk seorang survivor. Ekoran itu, beliau membuat keputusan untuk menurunkan setiap survivor di RV di mana sebuah pesawat ringan ditugaskan untuk membawa survivor ke pangkalan...shuttle service. RV yang dikenal pasti ialah beting pasir (sandbar)  

Pada hari tersebut, Carter berjaya membawa keluar 2 casevac dari lokasi nahas ke beting pasir. Sebelum sempat melakukan sorti ketiga dari lokasi RV, enjin Warner meragam dan tidak boleh dihidupkan. Keadaan ini memaksa beliau bermalam bersendirian di situ. Keesokan hari, beliau berjaya menghidupkan enjin dan terus terbang untuk mengambil casevac ketiga. Setelah menurunkan casevac di RV, beliau membuat sorti terakhir untuk mengambil Hladovcak. Semasa mendarat di lokasi terbabit, Carter ternampak segerombolan terup keluar dari hutan menuju ke arah mereka dalam jarak lebih kurang 1000 kaki. Tanpa berlengah, dan Hladovcak berada dalam pesawat, beliau berlepas ke Aberdeen. Mereka hanya diberitahu bahawa  terup yang mereka nampak bukannya tentera Jepun, tetapi "...friendly Chinese soldiers".  

Menyedari kehebatan instrumen peperangan ini, jadi tidak hairanlah C-in-C FELF telah memohon kepada MINDEF untuk membekalkannya aset penerbangan ini dalam usaha menentang ancaman PGK.

R-4 di Burma
Sumber:

Boyne, Walter J., How The Helicopter Changed Modern Warfare, Pelican Publishing Co., 2011, hlm. 49-51.

Bersambung....

Jumaat, 13 Januari 2017

Sejarah Kehadiran Helikopter Di Malaysia

Saya rasa mungkin ramai para pembaca kurang pasti bila helikopter mula muncul di Malaysia. Ekoran ada sekelumit maklumat tentang subjek ini, rasanya elok juga saya kongsi bersama apa yang saya tahu. 

Kehadiran aset peperangan ini bermula dengan kawat ini ...

Kawat daripada C-in-C FELF pada 8 Mac 1949

Komander Far East Land Forces telah menghantar kawat tersebut kepada MINDEF, London, memohon supaya beliau dibekalkan dengan helikopter. Tujuan permohonan adalah untuk misi casevac. Beliau menegas terdapat operasi menentang pengganas komunis (PGK) terpaksa dibatalkan kerana masalah membawa keluar anggota PK yang cedera. Kesannya ialah morel mereka menjunam. Dalam peperangan, elemen morel memang sangat penting kepada komander sehingga ia terletak di tempat kedua dalam Prinsip Peperangan - Maintenance of Morale. Tanpa morel yang tinggi, sukar untuk memenangi sesuatu peperangan walaupun dilengkap dengan persenjataan yang moden dan canggih.

Rasanya, cukuplah buat sementara waktu. Akan disambung, insyaAllah...